Merenung kisah-kisah manusia sekeliling, terkesima sejenak memikirkan haluan hidup zaman penuh cabaran ini. Apakah sebenarnya yang dicari? Apakah definisi nilai yang tertanam di dalam benak segelintir daripada kita?
Berkecamuk minda, cuba mengamati dan memahami fenomena yang semakin mencengkam kehidupan hingga mencalar kebijaksanaan akal dan iman.
Antara kuasa, kekayaan dan harga diri........apakah yang ingin kita pilih? Kalau kita merasakan kekayaan adalah segalanya, kita silap! Walau pendapat hari ini rata-rata mengatakan kekayaan dapat membeli segalanya, perlu juga kita ingat bahawa tidak semua boleh kita beli dan miliki dengan kekayaan itu. Apa yang berlaku hari ini adalah hasil daripada kejahilan. Kuasa menjadi idaman, kekayaan menjadi pujaan. Harga diri? Siapa yang ingin persoalkan? Apalah yang ada pada harga diri.
Meninjau persoalan semasa, segelintir daripada kita sanggup melakukan apa saja asalkan kuasa idaman dapat dimiliki, walau terpaksa menjaja harga diri sekalipun. Maruah dilontar dan dipijak asal harta dambaan menjadi nyata.
Apa guna kuasa kalau ianya hasil daripada kedurjanaan? Apa nilai kekayaan kalau ia dibina di atas airmata sengsara orang lain?
Kuasa dan kekayaan hanya dipandang ketika ada, sedang harga diri adalah tunjang kehormatan yang tak akan pudar, walau setelah jasad dan roh terpisah sekalipun. Ke mana hendak dibawa kuasa dan harta itu? Akhir hidup semua manusia hanyalah kain putih, tidak kira pangkat, tidak kira darjat.
Sunday, 16 March 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment