Bila diamati, laporan-laporan ini seolah-olah memberi gambaran tentang sesuatu.....sesuatu yang sangat merugikan semua terutamanya rakyat Malaysia dan orang Melayu.
Saya sekadar ingin mengutarakan pendapat peribadi mengenai apa yang berlaku di Malaysia, terutamanya mengenai UMNO. Sebagai rakyat Malaysia, yang juga ahli UMNO yang berdaftar, tidak salah rasanya jika saya meluahkan sedikit rasa tidak puas hati.
Apa yang telah berlaku pada UMNO hari ini? Dimana silapnya hinggakan tsunami nampaknya akan membawa kepada gempa bumi yang dahsyat.
Parut kesan luka akibat pemecatan Datuk Seri Anwar yang masih lagi perit, nampaknya diparahkan lagi dengan luka-luka baru. Kenapa tidak diambil iktibar daripada apa yang telah berlaku?
Punca kekalahan BN atau UMNO (my main concern) adalah datang dari dalam UMNO itu sendiri. Salah kepimpinan? Mungkin juga. Saya percaya, asas pengukuhan sesebuah organisasi adalah pemimpin dan kepimpinannya, sangat logikal.
Perpecahan dalam UMNO bukanlah satu perkara baru dan ini memberi ruang seluasnya kepada pihak lawan untuk bangkit. Bagi pertubuhan yang opportunist seperti PKR, inilah masanya, peluang perlu diambil dan mereka telah membuktikannya dalam PRU12 baru-baru ini. Nampaknya Keadilan dan Datuk Seri Anwar khususnya masih lagi relevan.
Saya hairan, kenapa pendapat 'orang-orang lama' kurang diberi perhatian akhir-akhir ini. Bagi saya pendapat mereka perlu didengar kerana mereka telah menimba dan mengumpul banyak pengalaman. Memberi pendapat tak bermakna membantah.
Saya juga kagum dengan orang muda UMNO, berkarisma, berani dan bijak bertutur kata. Alangkah bagusnya jika kelebihan yang ada itu digunakan untuk menyatukan kembali UMNO. Kebijaksanaan yang dimiliki, digunakan untuk membalut luka-luka yang berdarah.........alangkah mulianya.
Berpesan-pesanlah untuk kebaikan.
Hentikanlah budaya ampu-kipas......
Muda jangan disangka perkasa, tua pula jangan disangka nyanyuk........

No comments:
Post a Comment