Sunday, 16 March 2008

LUAHAN ANAK RANTAU

Apa yang ditulis di sini adalah pandangan peribadi saya tentang apa yang berlaku di tanah air. Tak pernah saya menyangka tanah air tercinta akan dilanda kontroversi sebegini rupa. Di mana silapnya....? Meneropong dari jauh laporan-laporan yang diterbitkan di dada-dada akhbar dan juga blog-blog bebas, pelbagai isu cuba didebatkan sehingga timbul sedikit kekeliruan. Saya cuba menganalisa apa yang berlaku dan daripada pengetahuan serta pengalaman yang cetek ini, tidak keterlaluan jika saya katakan yang ini semua berpunca daripada kealpaan. Kealpaan semua pihak......! Tiada guna kita menunding jari, atau mendabik dada. Tidak pula bermakna kita perlu berdiam diri, berpeluk tubuh, mengiakan apa yang salah dan menidakkan apa yang benar.

Tidak pernahkah kita fikirkan, atau sekurang-kurangnya terlintas tentang bahana yang akan menimpa? Siapa yang rugi dan siapa yang bertepuk tangan? Apakah nasib anak cucu kita nanti?

Pepatah mengatakan "Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri", siapa kata negeri kita hanya ditimpa hujan batu? Sebaliknya negeri kita selama ini dibanjiri oleh hujan emas. Tidak perlu taksub untuk memuja-muji negeri orang kerana di negeri kita, kita ada segalanya yang tidak dimiliki oleh orang lain.

Cuba lihat ke belakang, renungkan kembali perjuangan nenek moyang kita. Betapa sukarnya mereka berjuang, berkorban harta dan nyawa untuk mendapatkan hak di tanah air sendiri. Sedang ada dikalangan kita, yang sewenang-wenangnya, seolah-olah cuba menggadai kembali harta yang telah pun dimiliki. Perpaduan yang diagungkan selama ini semakin retak.....mungkin sudahpun terbelah dan menunggu masa untuk berkecai.

Sudah, cukuplah.........kembalilah ke pangkal jalan. Tidak ada gunanya bertikam lidah, saling tuduh-menuduh, sedangkan hakikatnya masing-masing cuba menegakkan benang yang basah.

Masih ada penyelesaian untuk perselisihan ini. Hanya satu yang saya rasa mampu menyelamatkan keamanan, kemakmuran serta perpaduan yang semakin luntur ini............Ketepikan segala ego yang ada. Ego tak akan membawa kita ke mana-mana, bahkan ia bisa membinasakan.

Penutup bicara, ingin saya berpesan kepada diri sendiri dan kepada semua......Harta dunia akan kekal di dunia. Ada sesuatu yang lebih berharga daripada itu, yang lebih bermakna, lebih mulia.

Suluh-suluhlah dan timbang-timbangkan............

No comments: